Monday, February 21, 2011

Kawalan Media Dalam Pembangunan Negara

Media yang bersifat profesional merupakan komponen penting untuk kestabilan negara demokrasi yang majmuk. Media adalah pelindung demokrasi, pembela kepentingan umum, dan pembela hak-hak demokratik bangsa negara. Media berfungsi menyebarkan maklumat, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan lapisan masyarakat, memajukan dasar pemerintahan dan menyampaikan pendapat-pendapat warga masyarakat. Media berpengaruh dalam pembangunan demokrasi sesebuah negara dan merupakan unsur yang penting dalam penyelesaian konflik dan pembangunan antarabangsa. Media yang bebas dan bertanggungjawab adalah asas demokrasi dan merupakan jaminan kepada ketelusan pemerintahan negara. Selaras dengan itu, perkembagan teknologi komunikasi juga telah mengubah dunia. Dahulunya, masyarakat tidak dapat membayangkan dunia yang begitu luas akan menjadi perkampungan sejagat. Tetapi kini, bayangan tersebut telah menjadi kenyataan dan masyarakat dunia boleh berinteraksi antara satu sama lain dan hanya melalui saluran-saluran komunikasi dalam negara masing-masing. Jaringan-jaringan komunikasi pada zaman kini telah meluas dengan sokongan dan kepantasan teknologi yang telah berjaya mendekatkan proses komunikasi.

Kini, media cetak dan elektronik di Malaysia telah berkembang dengan pesat dan banyak mengalami perubahan serta mempunyai aliran-aliran bahasa utama mengikut etnik-etnik yang terdapat di Malaysia. Walau bagaimanapun, akhbar bahasa Inggeris berjaya memenuhi keperluan pembaca berbilang etnik yang mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Inggeris dan manakala akhbar seperti bahasa Malaysia, Cina dan Tamil lebih memenuhi keperluan kelompok etnik masing-masing. Oleh itu, pelbagai kaedah digunakan sebagai pendekatan dan berbeza di kalangan media dalam setiap bahasa mengikut kesesuaian masing-masing bagi memilih dan memaparkan berita yang bukan sahaja dirasakan sebagai suatu keperluan bahkan juga bertindak sebagai medium pembentuk kepada permintaan dan keinginan golongan pembacanya yang tersendiri. Melalui pelbagai sudut pandangan, media di Malaysia mencerminkan dan memperkukuhkan kepelbagaian etnik dan kaum serta mewujudkan kesefahaman antara semua pihak. Keadaan ini menunjukkan secara langsung akan kelebihan yang menjadi penanda aras bahawa rakyat Malaysia khususnya sentiasa peka dan maklum serta mengikuti perkembangan seluruh dunia dari semasa ke semasa. Berdasarkan kepada kelebihannya, hal ini mempunyai nilai-nilai kebudayaan dan juga bersifat ekonomik yang pada akhirnya mendatangkan faedah kepada negara secara keseluruhannya.

Namun begitu, sekiranya wujud kelompok yang berpaksikan sesebuah etnik atau mengutamakan semangat perkauman satu etnik sahaja, maka ini akan memperkukuhkan lagi tembok pemisah antara kaum dan bukannya meroboh kekuatannya. Daripada menggalakkan persefahaman dan perpaduan, hal ini mungkin akan memberi kesan yang bertentangan. Tambahan lagi, wujudnya perasaan bimbang yang tercetus ekoran sesetengah penulis yang lantang menyuarakan pendapat mahupun ulasan mereka yang pada dasarnya sah dan membina, hakikatnya telah menyalahgunakan kebebasan bersuara yang kini dilihat sebagai pengantaraan bagi meluahkan perasaan yang lebih bersifat menghasut atau berunsurkan perkauman, khususnya saluran media elektronik yang mudah tersebar secara meluas dan juga boleh membangkitkan tindak balas yang berlebihan di kalangan kelompok masyarakat yang lebih besar serta berbilang kaum seperti Malaysia.

Kejadian seperti ini dapat dikaitkan dengan kes hasutan yang telah diterbitkan oleh wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda. Beliau dituduh menerbitkan artikel bertajuk “Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959”, yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya. Hal demikian juga telah mencetuskan kontroversi berikutan kenyataannya yang mempertikaikan keputusan Sultan Selangor memperkenan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru. Jika diteliti dengan terperinci, pada masa kini, tiada lagi budaya menghormati kuasa tertinggi dan dengan sewenang-wenangnya mempertikaikan keputusan yang telah dibuat. Telah terbukti bahawa kuasa media sangat berpengaruh dan mampu memutarbelit fakta serta fikiran segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka. Sebagai contoh, kejadian rusuhan 13 Mei 1969 yang telah disemarakkan oleh ucapan yang bersifat menghasut oleh pelbagai parti pembangkang dan diikuti dengan perarakan, dilihat sebagai kemenangan terbesar dalam pilihan raya yang menafikan kekuasaan parti pemerintah dan sekali gus mencipta sejarah atas kemenangan majoriti dua per tiga.

Ketika darurat juga, kerajaan pada masa itu telah memutuskan untuk mengantung urusan pencetakan bagi semua surat khabar bertujuan untuk membendung penularan sentimen anti perkauman. Kejadian rusuhan pada tahun 1969 itu tercetus akibat daripada perubahan penting polisi media dalam arus permodenan di Malaysia. Kesan selepas peristiwa keganasan itu, lebih 100 enakmen termasuk enakmen untuk perlembagaan telah diluluskan oleh Parlimen bagi memperbetulkan kelemahan yang sedia ada seperti mana tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei dan juga dalam erti kata yang lain, sebagai usaha kawalan terhadap ucapan dan kenyataan terutamanya dalam media cetak. Pindaan-pindaan tersebut nyata sekali bertindak mengawal dan mengawasi kebebasan bersuara dan penulisan serta pencetakan. Selain itu, amat penting bagi kesemua pindaan tersebut wujud bagi mengekang unsur-unsur yang bertindak sebagai perosak pemikiran rakyat yang mana akan mendatangkan keburukan terhadap keharmonian setiap kaum, kepentingan negara dan keselamatan khususnya.

Jika dinilai selepas hampir 42 tahun selepas tragedi rusuhan kaum itu, ternyata kawalan terhadap media dikira berjaya dalam membendung sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku dan berjaya membentuk masyarakat berbilang bangsa sebagai satu bangsa yang sama iaitu Satu Malaysia atau bangsa Malaysia yang memahami antara satu sama lain serta memupuk perpaduan negara. Oleh itu, walaupun penapisan atau batasan yang dikenakan bertentangan dengan demokrasi, tetapi secara positifnya, dianggap sebagai satu keperluan untuk memperkenalkan serta mendalami komitmen terhadap profesionalisma kewartawanan, iaitu rasa bertanggungjawab dan kawalan diri, dengan bersikap sensitif terhadap pandangan serta perasaan berbeza masyarakat yang terdiri pelbagai etnik dan kaum.