Sunday, March 20, 2011

Analisis Rencana

Kesan kebiadapan di dunia siber
oleh Dr. Rahmat Ghazali



Merujuk kepada rencana bertarikh 18 April 2010, karya Dr. Rahmat Ghazali, amat benar sekali pandangan beliau. Dewasa ini, kebebasan siber telah disalahgunakan oleh segelintir pihak atas kepentingan masing-masing. Boleh diibaratkan seperti menconteng dinding, di mana kegiatan mereka itu langsung tidak memikirkan kesan secara keseluruhan yang akan dan bakal terjadi.

Namun begitu, pasti kelompok tersebut langsung tidak memikirkan atau kurang arif  tentang undang-undang yang seharusnya menjadi panduan, seperti mana kehidupan sesebuah bangsa yang bertamudun.
Sebagai rakyat negara yang membangun, seharusnya kita memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan seiring dengan kemajuan yang telah dikecapi. Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia perlunya ada sikap toleransi antara semua kaum.

Jika dibandingkan dengan media arus perdana, setiap informasi telah pun ditapis bersesuaian dengan konteks negara. Akan tetapi, kesan negatif mula ketara kelihatan akibat daripada kelahiran media alternatif yang telah mendapat tempat di hati masyarakat.

Hal ini kerana di dunia siber, langsung tiada kekangan yang diperuntukan dan segala maklumat yang tersebar bebas bergerak. Pengguna siber pula dapat memperolehi maklumat tanpa batasan.
Boleh dikaitkan sebaran daripada media alternatif yang tidak bertanggungjawab mampu mencetuskan kejadian rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969.

Tepat sekali jika dikatakan bahawa unsur-unsur yang telah lama bertapak di dunia siber ini, yang mampu diperoleh oleh pengguna siber boleh menjadi bom jangka. Pada bila-bila masa sahaja akan meledak.

Pastinya, agenda Kerajaan Malaysia , iaitu 1Malaysia akan terbantut pergerakannya. Jika diteliti, zahirnya, tiada kesan positif yang kelihatan dalam kempen tersebut. Bagi menjayakannya, seharusnya dimulakan pada akar umbinya, iaitu pada peringkat sekolah rendah. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sentimen anti-perkauman bukanlah sesuatu yang baru. Dunia antarabangsa telah menyaksikan pelbagai kempen kebencian yang telah dilahirkan. Terutamanya, Islamophobia yang sengaja dicipta bagi menjatuhkan umat islam.

Justeru itu, rakyat Malaysia haruslah peka dengan makna demokrasi itu sendiri. Benar demokrasi itu adalah kebebasan bersuara, tetapi etika itu harus dititikberatkan. Kebebasan mutlak hanya diaplikasikan oleh sekelompok yang hidup tanpa undang-undang atau bebas tanpa kepercayaan.

Oleh itu, pendedahan terhadap demokrasi dan etika perlulah dilaksanakan dari akar umbi lagi. Dengan itu, dapatlah dipupuk dan semai semangat cintakan negara sebagai langkah kepada usaha menjayakan gagasan 1Malaysia. Bersatu teguh, bercerai roboh.