Tuesday, March 8, 2011

Sikap pengguna jalan raya di Malaysia yang tidak berhemah

Pada dasarnya, perubahan sikap dan tindakan yang positif daripada para pengguna jalan raya amat diperlukan dalam memerangi masalah ini. Mematuhi peraturan jalan raya merupakan langkah yang paling asas bagi mengelakkan kemalangan. Sekiranya kita memandu mengikut peraturan, sudah tentunya lalu lintas jalan raya akan menjadi sistematik dan teratur. Hal ini penting kerana jalan raya yang penuh dengan pelbagai jenis kenderaan akan menjadi terlalu padat sekiranya penggunanya memandu mengikut kesukaan hati sendiri. Antara contoh-contoh peraturan yang wajib kita patuhi termasuklah tidak memandu melebihi had laju semasa berada di lebuh raya, mematuhi lampu isyarat ketika berada di simpang jalan dan sebagainya. Di samping itu, kita mesti memastikan kenderaan sendiri berada dalam keadaan yang baik dan dapat dikawal dari semasa ke semasa. Enjin, tayar, dan bahagian lain perlu diberi penjagaan yang baik dan sesuai agar menjamin kenderaan kita dapat dipandu dengan selamat. Selain itu, air di dalam enjin dan minyak pelincir hendaklah dipastikan tidak bermasalah.

Sekiranya hal ini diabaikan, kita mungkin ditimpa kemalangan. Misalnya, memandu di kawasan licin dan basah dengan menggunakan tayar yang cengkamannya kurang berfungsi akan mengakibatkan kecelakaan. Tumpuan dan perhatian yang sepenuhnya semasa memandu juga tidak patut diabaikan. Menurut pihak berkuasa sesetengah kecelakaan jalan raya berlaku semasa pemandu itu sedang menggunakan telefon, leka dan berbual-bual dengan penumpang lain ataupun dalam keadaan mabuk. Apabila mereka membuat dua perkara dalam masa yang sama, sudah tentunya mereka tidak dapat memerhatikan kenderaan di sekelilingnya, terutama bagi mereka yang baru mendapat lesen memandu. Mereka beranggapan bahawa kemahiran memandu mereka adalah mantap tetapi sebenarnya itulah yang meragut nyawa mereka.

Selain itu, penggunaan kenderaan awam turut merupakan salah satu kaedah yang harus diambil berat. Hal ini demikian kerana terdapat banyak kemalangan jalan raya yang berlaku kerana kesesakan lalu lintas. Apabila kita menggunakan kenderaan awam seperti bas, komuter dan sebagainya, masalah kesesakan lalu lintas dapat ditangani kerana bilangan kenderaan di jalan raya telah dikurangkan. Secara tidak langsung, kecelakaan jalan raya dapat dielakkan. Pada masa kini, pihak kerajaan turut menitikberatkan langkah ini terutamanya di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari ini bukan sekadar melibatkan pemandu kereta dan penunggang motosikal, malah juga melibatkan mereka yang sedang menyeberangi jalan, misalnya murid-murid yang ingin pergi ke sekolah. Dalam hal ini, para pejalan kaki sewajarnya memanfaatkan kemudahan- kemudahan awam yang sedia ada seperti lintasan pejalan kaki dan jejantas. Tanggapan sebahagian besar daripada kita bahawa menggunakan jejantas ataupun lintasan pejalan kaki merupakan tindakan yang membuang masa harus diubah bagi menjamin keselamatan diri sendiri. Sehubungan itu, para pemandu turut patut memperlahankan had laju sekiranya mendapati ada pajalan kaki yang sedang menggunakan lintasan pejalan kaki.

Walau bagaimanapun, amalan sikap toleransi dan saling menghormati di jalan raya merupakan kaedah yang paling mudah dan berkesan bagi menyelesaikan masalah ini. Namun begitu, sikap dan amalan murni ini telah semakin terhakis dalam kalangan pengguna jalan raya akibat arus pembangunan moden kehidupan yang lebih kepada individualistik atau mementingkan diri sendiri. Kebanyakan pemandu kereta selalu memotong kenderaan sesuka hati semasa mengejar masa ataupun semata-mata untuk menunjukkan kehebatannya, terutamanya golongan remaja. Ada juga mereka yang berebut untuk memasuki jalan sehala yang sempit. Kesannya, berlakulah kecelakaan yang menyayat hati. Lantaran itu, sikap bertolak-ansur harus disemai dalam hati sanubari setiap pengguna jalan raya agar ketenteraman jalan raya tidak terjejas dan terpelihara, lantas kadar korban nahas jalan raya akan berkurangan.