Tuesday, March 8, 2011

Generasi Muda dan Pollitik

Generasi muda merupakan golongan yang lahir dan hidup pada zaman teknologi maklumat yang pada ketika itu sedang membangun dan berkembang ke arah kemajuan. Mereka juga seiring dan mahir menggunakan kemudahan internet sudah pasti mengikuti berita dan maklumat menerusi internet. Mereka akan mudah terpengaruh kerana suara-suara yang disampaikan melalui internet adalah suara orang muda. Generasi pengundi muda lebih mudah menterjmahkan diri mereka sebagai penulis internet kerana kebanyakannya adalah di dalam lingkungan umur mereka berbanding dengan sumber berita dalam media perdana yang lebih memberi tumpuan kepada pemimpin Kerajaan.

Di Malaysia, kita mempunyai ketembusan internet sebanyak 60 peratus. Angka ini jika diterjemahkan kepada jumlah penduduk bermakna hampir 15 juta penduduk mempunyai kemudahan akses kepada internet. Pada dasarnya sekarang, internet akan menjadi saluran utama pengundi mendapatkan maklumat atau khabar angin politik di masa hadapan. Dengan senario politik yang sudah berubah, medan perang memikat pengundi terutama pengundi muda juga perlu diubah. Orang muda gemar menggunakan blog spot, Twitter, FacebookYouTube dan pelbagai rangkaian untuk menghubungi antara satu sama lain.

Justeru itu, perlu adanya usaha untuk berdialog melalui ruang maya dan memahami rasa hati pengundi baru, sama ada di luar bandar mahupun di bandar. Pada pilihan raya yang lepas, parti pembangkang telah menang dalam perang psikologi dengan pengundi. Mereka merayu agar pengundi sekadar memberikan mereka lebih banyak sokongan undi untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Mereka tidak merayu supaya memastikan calon mereka menang. Mereka juga tidak merayu supaya mereka diberi peluang membentuk kerajaan negeri. Namun, rayuan psikologi secara berterusan dan terkumpul inilah yang telah menyebabkan perubahan undian yang terlalu banyak dan seterusnya telah pun mengubah senario politik negara ini.

Dalam istilah komunikasi politik dikatakan akan muncul lingkaran senyap yang akan bergabung dengan suara majoriti untuk menentukan arah keputusan sesuatu pilihan raya. Pada konteks ini, kelompok lingkaran senyap itu merupakan pengundi baru di kalangan generasi muda yang tidak takut untuk meluahkan rasa hati mereka. Ternyata dengan jelasnya bahawa pemikiran anak muda masa kini yang dilihat sangat kritikal terhadap parti pemerintah atas beberapa sebab. Selain itu juga, wujudnya golongan yang digelar sebagai golongan ketiga. Kemunculan golongan ketiga iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting pada hakikatnya, dilihat mempunyai tahap pemikiran yang sama kritikal dan sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang.Golongan atas pagar yang baru ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu-isu dan apakah cara bagi sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Hakikatnya, tahap ambil tahu golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah, dimana terdapat rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi wujudnya masalah yang berlainan pula. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme atau mementingkan diri sendiri dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang kurang dan tidak tepat mengenai konsep politik  dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.