Negara kini telah mengecapi arus pembangunan yang pesat dan setanding negara-negara maju di dunia. Masyarakat boleh dikatakan telah pun mencapai kemajuan dari perspektif material. Dengan itu juga, negara telah mengalami satu perubahan dari segi sains dan teknologi yang mana telah membantu segelintir masyarakat keluar dari kepompong kemiskinan, walau bagaimanapun masih lagi tidak seimbang pada sudut pembahagiannya. Dapat dilihat ada segelintir kelompok masyarakat yang masih lagi hidup seperti 50 tahun yang lepas.
Jika berbicara tentang kemajuan pula, ianya meliputi dan merangumi segala aspek kehidupan manusia seperti agama, pemikiran, ekonomi, politik dan juga budaya. Semua aspek-aspek tersebut tidak dapat diabaikan dalam menentukan sejauh mana sesuatu masyarakat itu boleh dikatakan mencapai status maju. Boleh dikatakan apabila sesebuah negara itu maju, kemunduran juga akan turut serta menyelinap masuk dan bercampur.
Nyata, hanya kemajuan sahaja dititikberatkan dan langsung pada hakikatnya tidak memandang pada masalah-masalah yang menyekat kemajuan. Dek kerana telah selesa pada status sosial dan juga kuasa, ada dikalangan mereka yang melupakan dan mengabaikan fakta kasar yang mana memerlukan tanggungjawab yang tidak diingini.
Pemikiran dan kemajuan yang seimbang adalah meletakkan usaha mempertingkatkan diri dari segi mental dan juga rohani, akan tetapi pada masa yang sama mengikuti serta menguasai arus kemajuan dengan menitikberatkan soal kemanusaian juga.
Akan tetapi, apabila negara yang kini membangun dan boleh dikatakan bakal maju, dihuni masyarakat yang asas pemikiran tidak lagi relevan atau tandus dengan budi pekerti juga akhlak. Benar dan tepat apabila semakin maju negara itu, semakin mundurlah rakyatnya. Kemunduran itu jelas dapat dilihat dari segi rasionalnya masyarakat dalam sesuatu isu dan konflik.
Antaranya dapat dilihat mulanya berlaku rusuhan di Malaysia yang mana itu dulu bukanlah budaya kita. Demonstrasi Hindraf yang dilakukan di Kuala Lumpur yang mana bertujuan menyatakan rasa tidak puas hati segelintir masyarakat India atas perjuangan penentangan terhadap "polisi pelupusan kuil-kuil secara tidak rasmi" dan memandang berat tentang "pencerobohan" berterusan undang-undang berdasarkan syariah.
Secara logiknya, segelintir masyarakat sebenarnya telah mengikuti cara pandangan dan gaya hidup ala Barat. Kemodenan biasanya dihadapkan dengan konservatif yang dipandang sebagai ketinggalan atau sudah lapuk. Ini adalah kerana dunia Barat dipandang sebagai simbol kemajuan, maka apa yang datang dari Barat lantas ditiru mentah-mentah.
Kelantangan bersuara tanpa arah mempertikaikan kedudukan sesuatu perkara juga dilihat semakin ketara dewasa ini. Jelas segelintir masyarakat Cina dan India yang lantang mengkritik dan mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu, juga mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukannya.
Lebih parah lagi, orang Melayu juga turut menyertai golongan itu dalam rasa ketidakpuasan hati mereka. Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan disemak dan dikaji semula atas alasan Malaysia telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang tidak bersesuaian adalah tidak tepat.
Kelompok yang terlibat tidak kurang hebatnya dari segi akademiknya dan juga kemajuan dari segi intelektual dan status hidupnya, tetapi pantas menolak ketepi rasional berfikir dan secara keseluruhanya, ingin memberontak seperti mana masyarakat-masyarakat dunia yang lain sering tonjolkan akibat rasa tidak puas hati.
Perkembangan pesat dunia teknologi juga telah membuka lembaran baru bagi ruang komunikasi dan mewujudkan dunia tanpa sempadan. Lantaran itu, kebanjiran medium perhubungan seperti Facebook lazimnya dan juga blogspot, mendapat tempat di hati segelinitir masyarakat. Asasnya sebagai medium atau platform perhubungan sesama manusia, tidak kira dekat atau jauh, lama atau baru.
Namun begitu, makna kemajuan teknologi ini telah ditafsir dengan membabi buta oleh sekelompok individu yang merasakan perlunya perubahan dalam negara, tetapi lebih gemar menyebarkan unsur-unsur negatif melalui penulisan maya yang mudah dimakan oleh masyarakat teknologi maklumat. Dunia ini merupakan dunia yang bebas dan sesiapa sahaja boleh singgah untuk menyerap semua isinya. Seperti mana Kolumnis Malaysiakini yang menulis artikel yang bertajuk Dataran Merdeka selepas Dataran Tahrir dan menyiarkan di Malaysiakini yang mana bertujuan ingin menghasut rakyat untuk berdemonstrasi menjatuhkan Kerajaan Malaysia sekarang.
Pada pandangan kasarnya, apakah ini suatu pemikiran yang murni untuk kebenaran atau sekadar bualan kosong dari para penyamun penyiaran yang tidak jujur dan diragukan integritasnya. Oleh itu, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu bergantung kepada mereka yang berkuasa dan mempunyai kredibiliti kepada masyarakat. Sekiranya kelompok itu didominasi oleh mereka yang berwawasan dan mempunyai asas pemikiran intelektualnya bersih, maka masyarakat akan berada di landasan kemajuan seiring dengan pemikiran yang positif.